Jauhilah segala yang haram niscaya kamu menjadi orang yang paling beribadah. Relalah dengan pembagian (rezeki) Allah kepadamu niscaya kamu menjadi orang paling kaya. Berperilakulah yang baik kepada tetanggamu niscaya kamu termasuk orang mukmin. Cintailah orang lain pada hal-hal yang kamu cintai bagi dirimu sendiri niscaya kamu tergolong muslim, dan janganlah terlalu banyak tertawa. Sesungguhnya terlalu banyak tertawa itu mematikan hati. (HR. Ahmad dan Tirmidzi) .

Minggu, 29 Maret 2015

SYW 501



NEGARA ISLAM, SALAHKAH?


 






















Sumber dan Penghargaan: https:// www. facebook. com/ 298909943602456/ photos/ a.298912246935559. 1073741826.298909943602456/ 306095696217214/?type=1

Banyak percanggahan yang berlaku sesama kaum muslim ketika mendengar ‘negara Islam’. Ada pihak yang setuju dengan adanya negara Islam, ada pihak yang tidak bersetuju dengan adanya negara Islam sama ada pihak yang tidak tahu dan tak mahu tahu. Walaupun begitu adakah yang salah dengan ‘negara Islam’?

Islam merupakan al-dien. Sebagaimana firman Allah yang bermaksud:

“Sesungguhnya dien (yang diredai) disisi Allah hanyalah Islam…” (Al-Nisa: 19)
“Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku-ridhai Islam itu jadi agama bagimu”. (Al-maidah: 3)
Berdasarkan ayat tersebut boleh dilihat dalam bahasa Arab ketika kata dien dibubuhi ‘al menjadi ‘al-dien’ menunjukkan kata ini bererti khusus hanya Islam sahaja yang diredai yang lain tidak diredai (Jamaluddin Kafie, 1983). Persoalannya mengapakah hanya Islam yang Allah reda?

Menurut Yusuf al Qardhawi redanya Allah terhadap Islam kerana risalah Islam bersifat syumul dan al-tawazun. Syumul disini iaitu mencakup seluruh aspek kehidupan manusia dan al-tawazun bermaksud seimbang, adil dan tidak berat sebelah (Ahmad Nuryadi Asmawi, 1996). Kesyumulan Islam ini berkait rapat dengan tasawur Islam yang tidak hanya mengatur hubungan mendatar sahaja namun juga mengatur hubungan menegak dengan pencipta kerana Islam mencakup habl min Allah dan habl min al-Annas (Jamaluddin Kafie, 1983, A. Hasjmy, 1970). Terdapat dua hubungan ini kerana elemen tsawur Islam menurut Muhammad Syukri Salleh (2003) terdiri daripada tiga elemen utama iaitu Allah sebagai Pencipta, manusia sebagai makhluk dan sumber alam sebagai makhluk. Dalam praktiknya Islam tidak mengabaikan keduanya sehingga tercipta kehidupan yang seimbang, adil dan tidak berat sebelah kerana berasaskan kepada  aqidah (tauhid), syariat (feqah) dan akhlak (tasawuf) (Jamaluddin Kafie, 1983).  Dengan demikian, sudah sepatutnya untuk orang yang mencari keredaan Allah diwajibkan melaksanakan ajaran Islam secara kaffah (keseluruhan) iaitu menyeluruh dan sempurna mencakup seluruh aspek kehidupan (Ahmad Nuryadi Asmawi, 1996). Sebagaimana firman Allah yang bermaksud:

“Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu”. (Al-baqarah: 208).
Menurut A. Hasjmy (1970) dalam praktiknya untuk melaksanakan Islam secara menyeluruh diperlukan alat atau jalan untuk mencapainya iaitu dengan membangunkan pemerintahan atau negara Islam. Pendapat ini disokong oleh Jamaluddin Kafie (1983) bahawa negara merupakan alat melaksanakan hukum kebenaran dan menegakkan keadilan maka sudah sepatutnya kebenaran aturan Allah untuk ditegakkan supaya dapat dilaksanakan secara utuh. Menurut beliau tidak ada alasan Islam dipisahkan daripada negara. Kahrudin Yunus (1978) menyatakan ketika negara dipisahkan daripada Islam maka dasar, haluan dan tujuan akan jauh daripada kebenaran iaitu petunjuk wahyu maka negara tersebut akan jauh daripada cahaya kebenaran. Sebagaimana firman Allah yang bermaksud:

“Barangsiapa yang tidak memutuskan menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir”. (Al-Maidah: 44)
“Barangsiapa tidak memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang zalim”. (Al-Maidah: 45)
“Barangsiapa tidak memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang fasik”. (Al-Maidah: 47)
A. Hasjmy (1970) pula menyatakan terdapat dua unsur yang menjadi dasar pelaksanaan Islam iaitu tauhid dan ukhuwah Islamiyah untuk mencapai kesejahteraan umat manusia. Namun yang terpenting dalam membina negara Islam ialah iman (Jamaluddin Kafie, 1983). Menurut beliau dengan iman maka individu akan tunduk kepada aktiviti di dunia ini kepada undang-undang dan peraturan yang ditetapkan oleh siapa yang individu tersebut imani. Dalam hal ini paling utama adalah iman kepada Allah, baik yang berhubungan dengan jiwa, kehidupan pribadi, rumah tangga, bertetangga, bermasyarakat mahupun bernegara.  

Ketika iman sudah bersebati dalam masyarakat Islam maka hal lain yang perlu diperhatikan menurut Yusuf al Qardhawi iaitu perkara penguat Islam itu sendiri. Yusuf al Qardhawi  menyatakan tiga sumber kekuatan Islam iaitu kekuatan rohani yang mantap, kekuatan material yang banyak dan kekuatan bilangan yang banyak (Ahmad Nuryadi Asmawi, 1996).  Beliau mengatakan bahawa kekuatan rohani merupakan kekuatan utama kerana bersumber daripada ajaran Islam yang berpandukan al-Quran. Sebagaimana disebutkan dalam firman Allah yang bermaksud:

Sesungguhnya kami yang telah menurunkan al-Qur’an dan sesungguhnya kamilah yang akan memeliharanya” (Surah al-Hijr:9)
Apabila kekuatan rohani  mampu dibina pada setiap individu muslim maka akan tercipta individu-individu yang amanah, tabligh, fatonah dan jujur dalam menjalankan tugasnya sebagai hamba dan khalifah secara syumul dan al-tawazun. Kesan daripada terbinanya kekuatan rohani ini maka boleh dipastikan sumber alam yang Allah anugerahkan akan dapat dimanfaatkan dengan baik sehingga daripada aspek material akan berkecukupan. Oleh itu, amanah dan tanggung jawab sebagai hamba pun akan berterusan bahkan dapat memperkembangkannya dengan menggunakan harta yang sudah Allah kurniakan. Ketika Islam dapat disebarluaskan maka  kekuatan bilangan pun akan bertambah. Menurut Yusuf al-Qhardawi bertambah banyaknya kaum muslimin dalam segi jumlah merupakan salah satu pemberian dan Kurnia Allah SWT (Surah al-A’raf: 86) yang perlu diimbangi dengan iman, ilmu dan kefahaman Islam yang benar sehingga menjadi unsur dan faktor kekuatan Islam dalam membentuk pemerintahan dengan konsep ‘baldah toyibah wa rabbun ghafur’ iaitu negara Islam. Sebagaimana firman Allah yang bermaksud:

“(Negerimu) adalah negeri yang baik dan (Tuhanmu) adalah Tuhan Yang Maha Pengampun." (Saba: 15)
Umar Hasyim (1981) yang dimaksud ‘baldah toyibah wa rabbun ghafur’ ialah negara yang indah permai, subur makmur, aman, adil, damai serta penuh keampunan Allah. Wallahu A‘lam.  

REFERENSI

A.Hasjmy (1970). Dimana letaknya Negara Islam. Singapura: Pustaka Nasional.

Jamaluddin Kafie (1983). Islam, Agama dan Negara. Surabaya: PT Bina Ilmu.

Kahrudin Yunus (1978). Pedoman Hidup Bernegara Menurut Islam. Malaysia: Pustaka Aman Press Sdn. Bhd.

Mohammad Syukri Salleh (2003). 7 Prinsip Pembangunan Berteraskan Islam. Malaysia: Zebra Editions Sdn. Bhd

Umar Hasyim (1981). Negeri Indah Adil Makmur di Bawah Ampunan Allah. Surabaya: PT Bina Ilmu.
Yusuf al-Qardawi (1996). Membangun ummah: Suatu kenyataan bukan khayalan.(terj. Ahmad Nuryadi Asmawi:Al-ummat  islamiyah haqiqat la wahm). Selangor: Thinker’s Library Sdn. Bhd.