Jauhilah segala yang haram niscaya kamu menjadi orang yang paling beribadah. Relalah dengan pembagian (rezeki) Allah kepadamu niscaya kamu menjadi orang paling kaya. Berperilakulah yang baik kepada tetanggamu niscaya kamu termasuk orang mukmin. Cintailah orang lain pada hal-hal yang kamu cintai bagi dirimu sendiri niscaya kamu tergolong muslim, dan janganlah terlalu banyak tertawa. Sesungguhnya terlalu banyak tertawa itu mematikan hati. (HR. Ahmad dan Tirmidzi) .

Minggu, 26 April 2015

SYW 501


KEPEMIMPINAN ISLAM DALAM KOPERASI PONDOK PESANTREN DAARUT TAUHIID (KOPONTREN DT), BANDUNG, INDONESIA

Koperasi Pondok Pesantren Daarut Tauhiid (Kopontren DT) merupakan bahagian daripada Pondok Pesantren Daarut Tauhiid (DT). Pondok Pesantren DT ini ditubuhkan oleh Abdullah Gymnastiar atau lebih dikenal Aa Gym pada tanggal 4 September 1990. Pada periode 2001-2006, aktiviti Pondok Pesantren DT Semakin berkembang pada peringkat nasional sehingga Pondok Pesantren DT dibahagikan kepada tiga lembaga besar iaitu Yayasan DT, Koperasi Pondok Pesantren (Kopontren) DT dan MQ (Management Qolb) Coporation. Kopontren DT ini berfungsi sebagai penopang ekonomi Pondok Pesantren DT. Berjayanya Kopontren DT bertahan dan melakukan penambahbaikan keadaan ekonomi daripada krisis ekonomi pada tahun 1997 dan pemboikotan aktiviti masyarakat kerana amalan poligami Aa Gym pada tahun 1990 merupakan prestasi yang luar biasa. Namun persoalannya, apakah Kopontren DT dalam pelaksanaan aktivitinya di bawah kepemimpinan Islam? Pada kesempatan ini saya cuba untuk menjawab persoalan tersebut.

Kepemimpinan dalam Islam merupakan amanah daripada Allah SWT (Djunaidi, 2005; Tatang M. Amirin, 2007; Mohd Syakir Mohd Rosdi, 2013). Menurut Djunaidi (2005) hakikat pemimpin dalam pandangan Islam adalah sebagai khodimul ummah atau pelayan bagi ummah yang dipimpinnya untuk menjaga dan mengarahkan rakyatnya supaya mendapatkan keselamatan sama ada di dunia mahupun  di akhirat sebagai amanah dan tanggungjawab daripada Allah SWT.  Daripada hakikat tersebut fokus kepemimpinan dalam Islam tertumpu kepada pemimpin dan ummah yang dipimpinnya  mengerjakan sesuatu yang baik dan benar sesuai syariat Allah SWT dengan mengharap al falah iaitu kebahagiaan dunia dan akhirat (Tatang M. Amirin, 2007). Daripada perbincangan tersebut jelas bahawa kepemimpinan dapat diertikan sebagai seni yang digunakan dalam mengurus dan menggerakan ummah untuk mencapai matlamat dalam Islam (Mohd Syakir Mohd Rosdi, 2013).

Merujuk kepada maksud kepemimpinan Islam disini, pelaksanaan Kopontren DT termasuk dibawah kepemimpinan Islam iaitu kepemimpinan Pondok Pesantren DT. Kepemimpinan yang dilaksanakan dalam Pondok Pesantren DT didasarkan kepada jati dirinya sebagai lembaga dakwah dengan menjadikan Tauhid sebagai asas utama dan cita-cita perjuangannya. Pondok Pesantren DT menyadari bahawa semuanya merupakan amanah dan tanggungjawab daripada Allah. Oleh itu, sudah sepatutnya Pondok Pesantren DT berkewajiban untuk menggerakkan ummah Islam di wilayahnya untuk meningkatkan keyakinan kepada Allah SWT dan menjadikan Allah SWT sebagai tujuan hidup dengan ber-Tauhiid kepadaNya. Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:

 Dan hendaklah ada di antara kalian segolongan umat yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah dari yang munkar; merekalah orang-orang yang beruntung.”

                                                                                                             (Al-Imran, 3:104)

Walau bagaimana pun dalam pelaksanaan operasinya Kopontren DT masih terikat aturan negara yang bukan menerapkan undang-undang Islam. Tetapi tak munasabah apabila perkara tersebut menjadi alasan pelaksanaan Kopontren DT tidak dibawah kepemimpinan Islam. Namun selama aturan tersebut tidak bertentangan dengan ajaran Islam dan dalam pelaksanaan sama ada secara prinsip mahupun secara operasinya Kopontren DT menjalankan prinsip-prinsip Islam sesuai al-Qur’an dan Hadith maka pelaksanaan kopontren DT boleh dikatakan  dibawah kepemimpinan Islam. Hal ini diperkuat oleh Fadzila Azni Ahmad (2010) bahawa institusi yang boleh dikatakan institusi yang berteraskan Islam iaitu institusi yang melaksanakan prinsip-prinsip Islam sesuai tasawur dan epistemologi Islam atau institusi yang sedang berusaha melaksanakan kepengurusannya sesuai kepengurusan institusi yang berteraskan Islam sebenar.

SENARAI RUJUKAN

Djunaedi (2005). Filosofi Dan Etika kepemimpinan Dalam Islam. Jurnal Al-Mawardi Edisi XIII, (2005), 54-66.

Fadzila Azni Ahmad (2010). Kaedah Pengurusan Institusi-institusi Pembangunan Berteraskan Islam di Malaysia. Pusat Penerbitan Universiti (UPENA), Universiti Teknologi Mara: Shah Alam.

Mohd Syakir Mohd Rosdi (2013). Ekonomi Politik Islam: Teori dan Falsafah. Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur.

Tatang M. Amirin (2007). Kepemimpinan yang Amanah. Jurnal Dinamika Pendidikan, (Mei 2007), 1-11.




Minggu, 19 April 2015

SYW 501



Ekonomi politik Islam? Ahli sosial pasti tidak asing dengan ekonomi politik tetapi dengan ekonomi politik Islam (EPI) pasti lah masih asing ditelinga mereka.  Mengapakah demikian? Jawabannya kerana EPI baharu berkembang pada tahun 1990-an. Perkembangan EPI ini dipelopori oleh Masudul Alam Choudhury dengan karyanya yang bertajuk ‘Islamic Political Economy in Capitalist-Globalization’ diterbitkan pada tahun 1997[1]. Masudul Alam Choudhury (1997) melihat bahawa pelaksanaan paradigma tauhid dalam EPI menjadi pembaharuan dan pengganti pelaksanaan EP konvensional. Hal yang dibincangkan Masudul Alam Choudhury (1997) berhubung paradigma tauhid dalam EPI merangkumi perbincangan tentang hak-hak pemilikan, kerja dan produktiviti, teori nilai, peruntukan sumber, harga serta formasi keutamaan.

Selain Masudul Alam Choudhury (1997), penulis lain turut berhujah dan membincangkan tentang EPI khususnya berkaitan dengan konsep EPI itu sendiri. Antara penulis tersebut ialah Qutb Ibrahim Muhammad (2012), Muhammad Syukri Salleh (1999) dan Mohd Syakir Mohd Rosdi (2013).

Qutb Ibrahim Muhammad (2012), Ekonomi politik Islam iaitu politik yang digunakan pada bidang ekonomi yang prinsip asas nya berpunca daripada Al-Quran dan as-Sunah. Masudul Alam Choudhury (1997) menjelaskan bahawa prinsip asas tersebut meliputi tauhid, syariah dan akhlak. Masudul Alam Choudhury (1997) menegaskan bahawa EPI merupakan kekuatan daripada institusi dengan prinsip asas kepada tauhid, syariah dan akhlak sesuai cara ajaran dari Islam melalui syura. Melalui karyanya di bidang ekonomi politik Mohd Syakir Mohd Rosdi (2013) mentakrifkan EPI sebagai ilmu yang panduan utamanya ialah al-Quran dan Hadith sehingga prinsip pembentuk ekonomi politik Islam itu sendiri iaitu prinsip ekonomi, sosiologi dan politik harus berdasarkan panduan tersebut. Hal ini memandangkan EPI merupakan konsep untuk pembangunan ummah yang berlamatkan mardhatillah dan mendapatkan kejayaan di dunia dan akhirat (al fallah).

Berdasarkan definisi tentang EPI yang dibincangkan ini menunjukkan EPI tidak terhad terhadap perbincangan antara hubungan kuasa dengan kemakmuran dunia sahaja sebagaimana EP pada amnya. Namun yang perlu ditekankan dalam EPI iaitu matlamat pelaksanaan untuk mencapai mardhatillah serta mendapatkan kejayaan di dunia dan di akhirat (al falah). Ketika para pelaksana EPI menyadari tentang tujuan ini maka yang perlu difahami hanya Allah SWT sebagai penentu sama ada kejayaan tersebut boleh tercapai ataupun tidak. Tercapainya mardathillah tersebut hanya dengan Islam kerana Islam merupakan agama yang Allah SWT benarkan (Al-Maidah, 5; 3). Ketika Allah SWT reda hanya kepada Islam maka hanya panduan Islam pula satu-satunya peraturan yang sah untuk dijadikan rujukan yang sebenarnya tanpa keraguan (Al-Baqarah, 2; 2) Al-Quran dan Hadith (Al-Ahzab, 33:21). EPI berprinsipkan tauhid dahulu kerana tauhid adalah penentu lahirnya seseorang mahu terikat syariah yang telah ditetapkan yang dengannya akan lahir akhlak yang mulia. Para pelaksana yang memiliki akhlak mulia akan membentuk dasar bersama yang diputuskan dengan penuh tunduk dan patuh kepada Allah melalui syura, dengan harapan keputusannya tidak bercampur dengan kepentingan peribadi.

REFERENSI

Masudul Alam Choudhury (1997). Nature and methodology of Islamic political economy. Dalam buku Islamic political economy in capitalist-globalization: an agenda for change, 535-552.

Masudul Alam Choudhury and Muhammad SyukriSalleh (1999). Islamic Political Economy, in Phillip Anthony O’Hara, ed., Encyclopedia of Political Economy, Vol. 1, London and New York: Routeldge, pp. 585-586.

Mohd Syakir Mohd Rosdi (2013). Ekonomi Politik Islam: Teori dan Falsafah. Malaysia: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Qutb Ibrahim Muhammad (2012). Politik Ekonomi Syariah. Penerbit Referensi: Jakarta, Indonesia.








[1] Karya ini dihasilkan melalui pengumpulan dan suntingan beberapa buah kertas kerja. Kertas-kertas kerja tersebut dihasilkan melalui penelitian terhadap sesuatu isu yang dihubungkan dengan EPI. Kertas-kertas ini dihasilkan oleh Ghosh (1997:41-56) yang menulis tentang ontologi dalam EPI; Mikailu (1997:191-215) tentang implikasi pelaburan langsung asing syarikat korporat multinasional di Nigeria kaitannya dengan EPI; Radiah Abdul Kader dan Mohamed Ariff (1997:261-278) tentang pengalaman ekonomi politik kewangan Islam di Malaysia; Usman Bugaje (1997:399-416) tentang gerakan Islam dan ekonomi politik di Afrika; Sule Ahmad Gusau (1997:417-438) tentang peranan gerakan politik Islam di Nigeria dalam perkembangan ekonomi di negara tersebut; dan M. Nejatullah Siddiqi (1997:529-534) tentang sifat dan kaedah EPI.

Minggu, 12 April 2015

SWY 501


PERKEMBANGAN EKONOMI POLITIK

Disiplin ekonomi politik (EP) merupakan disiplin yang sudah berkembang sejak zaman Yunani Kuno. Kemudian dipisahkan menjadi ilmu ekonomi dan ilmu politik. Namun akhirnya EP digunakan kembali dengan menggabungkan falsafah ekonomi dan falsafah politik didalamnya.  Persoalannya, mengapakah hal itu boleh berlaku? Bagaimanakah perkembangan ilmu EP tersebut?.

Munculnya EP tidak terlepas daripada awal kemunculan usaha-usaha manusia dalam memenuhi kesejahteraan dalam hidupnya. Usaha-usaha ini yang akhirnya memunculkan istilah politik dan ekonomi dan eratnya hubungan keduanya (Isjwara, 1966; Staniland, 1985, Miriam Budiardjo; 2008). Namun dalam perkembangannya tokoh-tokoh ekonomi klasik memisahkan ekonomi daripada politik (Deliarnov, 2006). Pemisahan ini menurut Deliarnov (2006) dikeranakan ilmu ekonomi lebih berkembang daripada ilmu politik. Pemisahan ini tidak lama bertahan kerana pada tahun 1960 an dan 1970 an berlaku permasalahan ekonomi dan berkaitan rapat dengan politik yang berlaku pada masa itu sehingga dalam  menyelesaikannya memaksa ilmuwan-ilmuan sosial pada masa itu untuk mempelajari interaksi ekonomi dan politik[1]. Selepas itu metode penyelesaian dengan menghubungkan interaksi ekonomi dan politik pun berkembang. Berdasarkan perkembangannya EP dibahagikan kepada beberapa kumpulan mengikut aliran pemikir EP iaitu[2]:

  1. Ekonomi politik Liberal Klasik
  2. Ekonomi politik Sosialisme (Marxisme)
  3. Ekonomi politik Neoklasik
  4. Ekonomi politik Radikal: Strukturalisme dan Dependensia
  5. Ekonomi politik Kelembagaan
  6. Ekonomi politik Baharu
  7. Ekonomi politik Neoliberalisme
  8. Ekonomi politik Campur tangan IMF dan Bank Dunia
  9. Ekonomi politik Globalisasi
  10. Ekonomi politik Antarabangsa
  11. Ekonomi politik Islam
Senarai tersebut merupakan usaha yang dilakukan oleh para sarjana EP dalam mendefinisikan konsep EP yang holistik.  Deliarnov (2006) cuba merangkum dan mengembangkan teori-teori dan konsep EP dari pelbagai pendekatan, model dan aliran EP yang ada. Beliau menggunakan perspektif EP Liberal Klasik, EP  Sosialisme (Marxisme), EP Neoklasik, EP Radikal (Strukturalisme dan Dependesia), EP Kelembagaan, EP Baharu, EP Neoliberalisme, EP Campur Tangan IMF dan Bank Dunia serta EP Globalisasi. Di samping pendekatan tersebut Caporaso dan Levin (1992) menggunakan pendekatan EP berbasis kekuasaan dan negara. Staniland (1985) memandang penting pendekatan EP Antarabangsa.


Menurut Deliarnov (2006), EP Liberal Klasik memandang bahawa kerajaan tidak perlu campur tangan dalam pengaturan perekonomian tetapi perekonomian diserahkan kepada pelaku-pelaku ekonomi menurut kepentingan pribadi. Caporaso dan Levin (1992) menegaskan aliran liberal klasik percaya bahawa pasar memiliki kemampuan mentadbir sendiri. Kepercayaan ini yang menjadikan pelaksanaan perdagangan bebas merupakan cara terbaik untuk mencapai kesejahteraan dalam pandangan liberal klasik. Sebagai kritik EP Liberal Klasik munculah EP Sosialisme (Marxisme). Menurut Deliarnov (2006) EP Sosialisme (Marxisme) memandang sistem EP merupakan sistem sosial yang berprinsip kebersamaan. Daripada prinsip kebersamaan tersebut, perekonomian tidak boleh diserahkan hanya kepada mekanisme pasar. Namun, kerajaan harus turut campur dalam penyusunan, perancangan dan pelaksanaan perekonomian. Deliarnov (2006) kemunculan EP Neoklasik merupakan reaksi terhadap kritikan EP Sosialisme (Marxisme) dengan memandang bahawa kerajaan tidak dibenarkan turut campur perekonomian secara keseluruhan. Turut campur pemerintah hanya diperlukan untuk menyeimbangkan mekanisme pasar bukan untuk menggantikannya.  Caporaso dan Levine (1985) menyimpulkan bahawa pendekatan EP yang sedia ada merupakan reaksi terhadap dua masalah utama. Masalah tersebut iaitu masalah-masalah berhubung mekanisme pasaran yang boleh mentadbir sendiri tanpa perlu campur tangan kerajaan dan masalah tentang konsep keperluan awam.
Daripada masalah-masalah EP tentang peranan pentadbiran pasaran, campur tangan kerajaan dan konsep keperluan awam, EP yang sedia ada belum menemukan jalan penyelesaiannya. Sarjana Muslim cuba melakukan pendekatan EP menurut Islam untuk mencari solusi  daripada masalah ini. Pendekatan EPI ini relatif baharu dan masih berada pada peringkat awal. Menurut Masudul Alam Choudhury (1997) EPI berbeza secara epistemologinya dengan konsep EP secara amnya kerana dalam EPI panduan yang digunakan ialah al-Quran dan Hadis bukan berdasar akal pemikiran manusia sahaja.  Selanjutnya untuk lebih  jelasnya EPI ini akan dibincangkan secara khusus pada bahagian EPI. 

REFERENSI


Caporaso & Levine (1992). Teori-teori Ekonomi Politik. (terj. Suraji: Theories of Political Economy).

Deliarnov (2006). Ekonomi Politik. Jakarta: Penerbit Erlangga.

Isjwara (1966). Pengantar Ilmu Politik. Bandung: Penerbit Bina Cipta.
Masudul Alam Choudhury (1997). Nature and methodology of Islamic political economy. Dalam buku Islamic political economy in capitalist-globalization: an agenda for change, 535-552.

Miriam Budiardjo (2008). Dasar-dasar Ilmu Politik. Jakarta: Penerbit PT. GramediaPustaka Utama.

Staniland (1985). Apakah Ekonomi Politik itu? Sebuah Teori Sosial dan Keterbelakangan. (terj Haris Munandar: What is Political Economy? A Study of Social Theory and Underdevelopment). Jakarta: Penerbit PT Raja Grafindo Persada.




[1] Penjelasan ini merupakan intipati daripada penjelasan latar belakang perkembangan EP oleh Deliarnov. Sila rujuk deliarnov (2006:1-2)
[2] Senarai perkembangan EP ini sesuai dengan karya Staniland (1985), Coporaso dan Levine (1992), Deliarnov (2006), Masudul Alam Choudhury (1997) dan Mohd  Syakir Mohd Rusdi (2013).

Minggu, 05 April 2015

SYW 501


Berbincang ilmu sosial pasti tidak akan terlepas daripada perbincangan ilmu ekonomi, politik, sosiologi, antropologi dan sebagainya. Namun sangat jarang orang berbincang tentang ekonomi politik (EP). Jarangnya perbincangan EP kerana disiplin ekonomi dan politik yang sedia ada telah dipisahkan di banyak universiti. Persoalannya patutkah ekonomi dan politik dipisahkan atau memang mesti digabung menjadi disiplin EP? Untuk menjawap persoalan ini maka eloknya tahu dahulu bagaimana asal usul munculnya EP.


Sumber dan Penghargaan: http://ummah-center.blogspot.com/2013/04/selayang-pandang-ekonomi-politik.html

Berdasarkan asal usulnya EP termasuk bidang ilmu yang sangat tua (Isjwara, 1966; Shamsulbahriah Ku Ahmad, 1989; Deliarnov, 2006). Deliarnov (2006), pembahasan dan pelaksanaan EP berkembang pada abad ke-14, saat terjadinya peralihan kekuasaan daripada raja ke para peniaga.  Menurut Isjwara (1966), istilah EP telah diguna pakai pada abad ke-17 oleh Montchretien de Watteville dalam bukunya “Traite’de I’oeconomi politique” diterbitkan pada tahun 1615. Penggunaan istilah EP oleh de Watteville lebih membawa maksud hubungan erat antara ekonomi dan politik iaitu kekuatan ekonomi digunakan untuk menguatkan kekuatan politik dan kekuatan politik juga digunakan untuk menguatkan kekuatan ekonomi. Selepas itu,  istilah EP digunakan pula oleh James Steuart dalam bukunya “An inquiry into the principles of politycal economy” yang diterbitkan pada tahun 1767 (Winardi, 1976). Namun, EP hanya memperoleh konsep yang lengkap pada akhir abad 18 setelah munculnya Revolusi Industri dan lahirnya karya Adam Smith bertajuk “The Wealth of Nations” yang diterbitkan pada tahun 1776 (Shamsulbahriah Ku Ahmad, 1989; Deliarnov, 2006). Sejak saat itu penggunaan istilah EP mulai digunakan oleh para ahli ekonomi dalam karya-karya mereka. Winardi (1976) menyenaraikan tokoh-tokoh yang menggunakan istilah EP dalam tulisan mereka antaranya adalah:
  1. David Ricardo daripada mazhab Klasik dengan bukunya Principles Of Political Economy And Taxation diterbitkan pada tahun 1817[1].
  2. Jen Baptiste Say daripada mazhab Klasik dengan bukunya Traite d’economie politique diterbitkan tahun 1803.
  3. John Stuart Mill daripada mazhab Klasik dengan bukunya Principles of Political Economy diterbitkan pada tahun 1848.
  4. Friedrich List daripada mazhab Historis dengan bukunya Nationales System der politischen Oekonomie diterbitkan pada tahun 1840.
  5. Stanley Jevons daripada mazhab Guna Batas dengan bukuny Theory Of Political Economy diterbitkan pada tahun 1871
  6. Vilfredo pareto daripada mazhab Lausanne dengan bukunya Cours d’economie Polique diterbitkan pada tahun 1896.

Menurut Dawam Rahardjo (1983) para tokoh EP meyakini EP sebagai ilmu yang mengaitkan perkembangan ekonomi dengan perubahan sosial dan politik yang selanjutnya mempengaruhi kepada proses ekonomi itu sendiri. Selain itu, beliau juga menyebutkan bahawa ekonomi politik ini tidak hanya berbincang tentang teori sahaja namun juga lebih bersifat praktek kerana ekonomi politik berkaitan dengan cara atau strategi (politik) yang dipilih dan digunakan untuk mencapai suatu tujuan ekonomi. Dengan demikian secara sedar sama ada tidak sedar terdapat hubungan rapat antara ekonomi dan politik.
 
REFERENSI

Dawam Rahardjo (1983). Esei-esei Ekonomi Politik. Jakarta: Penerbit LP3ES.

Deliarnov (2006). Ekonomi Politik. Jakarta: Penerbit Erlangga.

Isjwara (1966). Pengantar Ilmu Politik. Bandung: Penerbit Bina Cipta.

Shamsulbahriah Ku Ahmad (1990). Pengantar Ekonomi Politik. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Winardi (1976). Pengantar Teori Politik Ekonomi. Bandung: Penerbit Alumni.




[1] Pada tahun 1815 tajuk bukunya Essay on the Influence of a low Price of Corn on the Keuntungan of stock, seterusnya tahun 1817 diubah tajuk menjadi Principles Of Political Economy And Taxation (Deliarnov, 2006).