Jauhilah segala yang haram niscaya kamu menjadi orang yang paling beribadah. Relalah dengan pembagian (rezeki) Allah kepadamu niscaya kamu menjadi orang paling kaya. Berperilakulah yang baik kepada tetanggamu niscaya kamu termasuk orang mukmin. Cintailah orang lain pada hal-hal yang kamu cintai bagi dirimu sendiri niscaya kamu tergolong muslim, dan janganlah terlalu banyak tertawa. Sesungguhnya terlalu banyak tertawa itu mematikan hati. (HR. Ahmad dan Tirmidzi) .

Minggu, 15 November 2015

Pembangunan Insaniah



IMPLIKASI PEMAHAMAN TAUHID BAGI PELAKU PEMBANGUNAN BERTERASKAN ISLAM

Oleh: Ade Yunita Mafruhat

Kesejahteraan berkait rapat dengan pembangunan. Berjayanya suatu pembangunan dalam sebuah negara biasanya dilihat daripada tercapainya kesejahteraan dalam negara tersebut.  Namun sebagai seorang Muslim ketika berbincang kayu ukur kejayaan sebuah pembangunan maka sepatutnya kayu ukur yang digunakan ialah kayu ukur kejayaan pembangunan berteraskan Islam. Persoalannya, mengapakah seorang Muslim perlu menggunakan kayu ukur kejayaan pembangunan berteraskan Islam? Perkara ini kerana pembangunan berteraskan Islam memiliki tasawur dan epistemologi tersendiri sehingga kayu ukur kejayaannya pun berbeza dengan pembangunan lazim (Muhammad Syukri Salleh, 2003). 

Ab. Aziz Yusuf (2012) menyatakan bahawa pembangunan dalam Islam merupakan perkara yang perlu diwujudkan dan diperjuangkan. Hal ini kerana pembangunan dalam Islam merupakan suatu usaha yang diambil untuk mencapai kesejahteraan dan untuk membina tamadun manusia yang mengikut syariat Allah SWT. Menurut Muhammad Syukri Salleh (2003), dengan terwujudnya pembangunan mengikut Islam ini maka akan mendatangkan keredaan Allah SWT sehingga akan terwujud kebahagiaan di dunia dan akhirat. Kerana perkara inilah beliau berpandangan bahawa pembangunan merupakan alat dalam mencapai keredaan Allah SWT. Persoalannya, bagaimanakah cara untuk mewujudkan pembangunan itu sendiri? Jawapannya mudah sahaja iaitu dengan melaksanakan kesemua prinsip yang ada dalam pembangunan tersebut. Muhammad Syukri Salleh (2003) menyatakan terdapat tujuh prinsip pembangunan berteraskan Islam; pertama, tasawur Islam sebagai acuan pembangunan; kedua, manusia sebagai pelaku pembangunan; ketiga, alam roh, alam dunia dan alam akhirat sebagai skala waktu pembangunan; keempat, Ilmu fardhu ‘ain sebagai kerangka pembangunan; Ibadah sebagai perkaedahan pembangunan; keenam, sumber alam sebagai peralatan pembangunan dan ketujuh mardat Allah sebagai matlamat pembangunan. 

Pelaku pembangunan sebagai subjek pelaksana pembangunan?

Daripada ketujuh-tujuh prinsip yang dikemukakan Muhammad Syukri Salleh (2003) prinsip manakah mengambil peranan utama? Apabila mengikut logik akal dalam membuat rumah umpamanya. Sebuah rumah akan terbangun dengan tiga syarat utama; pertama, perlunya menyediakan peralatan dan perlengkapan untuk membuat rumah termasuk menyediakan material-material rumah (seperti simen, pasir dan lain-lain); kedua, perlu adanya para pekerja; ketiga, terpenuhinya komponen-komponen penting dalam rumah (dasar rumah, tiang rumah dan atap rumah). Daripada ketiga-tiga syarat ini apakah yang akan berlaku apabila salah satu syarat tidak ada? Tentunya rumah tidak boleh terbina. Walaupun ketiga-tiga syarat ini penting bagi menentukan terbinanya sebuah rumah tersebut. Namun sebenarnya para pekerja memiliki peranan yang paling utama daripada ketiga-tiga syarat tersebut. Alasannya kerana para pekerja merupakan pelaku utama dalam pembangunan rumah tersebut. Dengan adanya para pekerja sebagai pelaksana maka rumah tersebut boleh terbina. 

Daripada analogi sederhana ini dapat dikatakan bahawa pembangunan akan dapat terlaksana jika ada para pelaksananya (Muhammad Syukri Salleh, 2003). Pelaksana disini bermaksud pelaku pembangunan itu sendiri. Kembali kepada tujuh prinsip pembangunan berteraskan Islam. Daripada ketujuh-tujuh prinsip tersebut prinsip kedua merupakan satu-satunya subjek pembangunan. Subjek yang dimaksud iaitu pihak yang berperan sebagai pelaksana keenam-enam prinsip pembangunan lainnya. Oleh itu, subjek pembangunan ini merupakan pelaku penentu terlaksananya prinsip pembangunan lainnya. Persoalannya, bagaimanakah cara supaya pelaku pembangunan tersebut berjaya melaksanakan prinsip-prinsip lainnya sehingga boleh mewujudkan pembangunan yang berteraskan Islam? Perkara ini berkaitan dengan asas yang perlu dimiliki oleh pelaku pembangunan tersebut. Asas ini berkaitan dengan prinsip pertama pembangunan iaitu tasawur Islam. Tasawur Islam yang dimaksud berkaitan dengan satu gambaran hidup yang lengkap dan hakiki tentang Islam dengan tujuan supaya asas Islam boleh tergambar secara menyeluruh dan jelas sehingga boleh bersebati dalam diri seseorang dan menjadi pandangan dalam hidupnya (Muhammad Syukri Salleh, 2003; Mohd Shukri Hanapi, 2013). Menurut Mohd Shukri Hanapi (2013), elemen konsep tasawur Islam yang paling penting dan utama ialah Tauhid kerana Tauhid merupakan tunjang kepada segala aspek kehidupan umat Islam. Dengan demikian cara yang paling tepat supaya pelaku pembangunan ini berjaya melaksanakan prinsip-prinsip lainnya iaitu dengan adanya pemahaman Tauhid dalam diri pelaku tersebut. 

Kedudukan Tauhid dalam Ajaran Islam

Dalam Islam terdapat tiga aspek asas sebagai intipati daripada ajaran Islam iaitu akidah, syariah dan akhlak (Azhari Akmal Tarigan, 2014; Ika Yunia Fauzia & Abdul Kadir Riyadi, 2014). Menurut Rozalinda (2014), akidah memiliki peranan yang penting bagi kehidupan manusia. Akidah memiliki pengaruh yang kuat terhadap cara berfikir dan bertindak seseorang. Oleh itu, akidah merupakan pengendali kehidupan manusia sehingga manusia boleh tunduk dan mengikuti kepada sesebuah ajaran. Akidah yang benar ialah yang beriman kepada Ilah dan Rabb yang sebenarnya yakni Allah SWT (Mustafa Haji Daud, 1989). Daripada kenyataan ini Azhari Akmal Tarigan (2014) menjelaskan bahawa akidah dalam Islam membawa maksud keyakinan kepada Allah, Malaikat, Kitab, Rasul, Hari kiamat serta qadha dan taqdir Allah. Dengan demikian manusia yang dapat dikatakan memiliki akidah yang benar iaitu manusia yang ber-Tauhid kepada Allah SWT. Daripada hal ini maka Tauhid merupakan bahagian daripada asas ajaran Islam yang berkaitan dengan akidah. 

Konsep Tauhid sebagai Akidah Universal dan pelbagai Implikasinya

Perbincangan sebelum ini sudah disebutkan bahawa Tauhid merupakan tunjang kepada segala aspek kehidupan umat Islam. Perkara ini dikeranakan Tauhid merupakan kesepaduan pengetahuan Ilahiyyah (Masudul Alam Choudhury, 1997). Menurut Masudul Alam Choudhury (1997), kesepaduan pengetahuan Ilahiyyah ini bermaksud asas pengetahuan yang lengkap dan mutlak yang mencakup pengetahuan tentang hubungannya dengan Allah SWT dan hubungannya dengan manusia. Selain itu, YPEIM (2005) pula menyatakan bahawa Tauhid merupakan kaedah pemaduan ilmu yang saling terkait dan saling memperkukuh sehingga membentuk kesatuan yang utuh dan kokoh. Kemampuan Tauhid sebagai kaedah pemaduan ilmu ini menunjukkan keholistikan Tauhid. Menurut Azhari Akmal Tarigan (2014), keholistikan Tauhid ini telah terlihat jelas daripada pelaksanaan Tauhid pada semua bidang kehidupan masa-masa awal Islam. Bidang yang dimaksud termasuk bidang ekonomi, politik, budaya dan sebagainya. 

Menurut Daud Rasyid (1998), keholistikan Tauhid ini menjadikan akidah Tauhid menjadi akidah yang universal. Menurut beliau yang dimaksud akidah universal di sini ialah akidah yang mampu mengarahkan secara keseluruhan aspek kehidupan manusia. Beliau juga menegaskan bahawa Tauhid merupakan satu-satunya kekuatan untuk memandu kehidupan manusia untuk beribadah Allah SWT sahaja. 

Berbincang Tauhid tidak lepas daripada pembahasan istilah Rububiyyah, Uluhiyyah dan Mulkiyyah (Hamim Ilyas, t.t; Syamsul Rijal, 2007; Mohd Shukri Hanapi, 2013) . Perkara ini dibincangkan kerana untuk memahami Tauhid seseorang perlu memahami ketiga-tiga istilah ini. Ada pula yang menambahkan istilah al-Hakimiyyah dan al-Asmâ’ wa al-sifat (Daud Rasyid, 1998; Jarman Arroisi, 2013). 

Daripada istilah-istilah ini dapat dirumuskan terdapat tiga pandangan tentang Tauhid. Pertama, Tauhid merangkumi Tauhid Rububiyyah, Uluhiyyah dan al-Asmâ’ wa al-sifat. Kedua, Tauhid merangkumi Tauhid Rububiyyah, Uluhiyyah dan Mulkiyyah. Ketiga, Tauhid merangkumi Tauhid Rububiyyah, Uluhiyyah dan al-Hakimiyyah. Walaupun terdapat perbezaan pandangan namun sama sekali tidak merubah makna daripada Tauhid itu sendiri kerana maksud daripada kesemuanya sama. Ketika berbincang Mulkiyyah Allah maka akan berhubungan dengan perlunya untuk meyakini al-Asmâ’ wa al-sifat. Ketika seseorang boleh meyakini sifat-sifat Allah maka dia akan faham bahawa yang berhak memiliki kewenangan dalam memerintah langit dan bumi hanya Allah SWT. Hal ini berkaitan dengan perlunya meyakini Mulkiyyah Allah SWT. Oleh itu, al-Asmâ’ wa al-sifat dan Mulkiyyah merupakan kesepaduan yang utuh. Perkara yang sama pun berlaku untuk Rububiyyah dan al-Hakimiyyah. Walaupun Daud Rasyid (1998) mengatakan bahawa al-Hakimiyyah dapat diertikan al-Malik sebagaimana yang disebutkan dalam surah al-Nas, 113:2. Namun hal itu kurang sesuai kerana dalam pandangan beliau al-Hakimiyyah bermaksud meyakini Allah SWT sebagai satu-satunya pembuat dan penetap aturan atau hukum. Oleh itu, pandangan yang paling sesuai iaitu pandangan bahawa al-Hakimiyyah berkait rapat dengan Rububiyyah. Hal ini berdasarkan pandangan bahawa Rububiyah bererti meyakini Allah sebagai satu-satunya Pengatur, Pencipta, Penguasa mutlak seluruh alam (Mohd Syukri Hanapi, 2013). Daripada keyakinan tersebut dapat dirumuskan bahawa Allah SWT merupakan satu-satunya pembuat dan penetap aturan atau hukum (al-Hakimiyyah). Daripada hal ini dapat dirumuskan bahawa Tauhid merangkumi Rububiyyah/al-Hakimiyyah, Mulkiyyah/al-Asmâ’ wa al-sifat dan Uluhiyyah.

Tiga perkara dalam Tauhid tersebut mengarah kepada tiga makna. Pertama, Allah sebagai satu-satunya penetap aturan sehingga satu-satunya aturan yang perlu ditegakkan iaitu aturan Allah. Kedua, Allah sebagai satu-satunya pemilik kekuasaan dan kerajaan seluruh alam sehingga satu-satunya kekuasaan dan kerajaan yang perlu ditegakkan di seluruh alam termasuk di bumi iaitu kekuasaan dan kerajaan Allah. Perkara ini penting kerana hanya dengan wujudnya kekuasaan dan kerajaan Allah sahaja, aturan Allah akan dapat ditegakkan. Hal ini menunjukkan bahawa kekuasaan dan kerajaan merupakan tempat yang sesuai diberlakukannya suatu aturan (Abdul Samat Musa, 2004). Ketiga, Allah sebagai satu-satunya yang berhak disembah dan ditaati. Perkara ketiga ini boleh dikatakan sebagai konsekuensi yang muncul ketika seseorang menerima kekuasaan, kerajaan, penetap aturan dan aturan hanya Allah sahaja. Daripada konsekuensi ini maka suatu kewajiban baginya untuk menerima, menyembah dan menaati Allah SWT. Perkara ketiga ini merujuk kepada para pelaksana aturan. 

Berdasarkan huraian tentang Tauhid ini dapat dikatakan bahawa ketika Tauhid diyakini sebagai akidah universal maka Tauhid perlu menjadi asas disetiap aspek kehidupan termasuk dalam pembangunan. Natijahnya pembangunan perlu difahami oleh para pelaku pembangunan dalam dimensi akidah Tauhid ini. Pembangunan dalam dimensi akidah Tauhid ini merangkumi tiga perkara utama. 

Pertama, pembangunan berteraskan Islam bersifat Rabbaniyyah. Perkara ini bermaksud pembangunan yang bersifat Ketuhanan yang berasaskan pada Tauhid Rubbubiyyah (Ika Yunia Fauzia & Abdul Kadir Riyadi, 2014). Hal ini bermakna bahawa cara-cara pelaksanaan pembangunan perlu mengikut aturan yang sudah ditetapkan Allah SWT. Maksud Rabbaniyyah disini juga sebagaimana pandangan yang dikemukakan oleh Ismail Saleh (2012). Beliau mengemukakan bahawa yang dikatakan Rabbaniyyah iaitu segala perkara yang bermula dari Allah dan tujuannya untuk mendapatkan keredaan-Nya dan cara-cara pelaksanaannya tidak bercanggah dengan aturan yang telah ditetapkan-Nya. M. Anwar Firdausi (2013) menambahkan pula bahawa Rabbaniyyah merupakan kesedaran terhadap kewujudan Allah diikuti sikap pasrah terhadap segala aturan-Nya.

Kedua, pembangunan berteraskan Islam merupakan bahagian daripada kekuasaan Allah. Perkara ini ditunjukkan dengan adanya penerimaan kekuasaan Allah di langit dan di bumi kerana pemahaman mendalam terhadap sifat-sifat-Nya (Tauhid Mulkiyyah dan al-Asmâ’ wa al-sifat). Pemahaman ini membawa natijah bahawa semua perkara yang ada di langit dan di bumi termasuk pembangunan merupakan bahagian daripada kekuasaan Allah. Perkara ini bermakna segala kepentingan dan tujuan pembangunan perlu ditunjukkan untuk mendapatkan keredaan Allah sahaja.

Ketiga, pembangunan berteraskan Islam bersifat Ilahiyyah. Perkara ini bermaksud pembangunan yang berasaskan kepada pemahaman Tauhid Uluhiyyah (Ika Yunia Fauzia & Abdul Kadir Riyadi, 2014). Hal ini bermakna bahawa lalam menjalankan segala aktiviti pembangunan, para pelakunya perlu sedar bahawa aktivitinya dalam rangka taat dan semata-mata hanya untuk menyembah Allah SWT (perkaedahan ibadah).

Daripada huraian tentang pembangunan dalam dimensi akidah Tauhid sebelum ini boleh disimpulkan bahawa terdapat tiga implikasi pemahaman Tauhid yang perlu difahami oleh pelaku pembangunan berteraskan Islam. Pertama, perlu difahami bahawa segala aktiviti pembangunan berteraskan Islam perlu mengikut aturan Allah. Kedua, dalam pelaksanaan pembangunan berteraskan Islam perlu dipastikan tidak ada sebarang  kepentingan selain hanya kepentingan Allah. Ketiga, para pelaku pembangunan berteraskan Islam perlu sedar bahawa aktivitinya dalam rangka taat dan semata-mata hanya untuk menyembah Allah SWT (perkaedahan ibadah).

REFERENSI

Ab. Aziz Yusof (2012). Pembangunan Holistik Dari Perspektif Islam. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Abdul Samat Musa (2004). Perlembagaan (Constitusionalism): Antara Islam dan Barat. Dalam Syariah dan undang-undang suatu perbandingan editor Zaini Nasohah et al. Kuala Lumpur: Utusan Publication & Distributors Sdn Bhd.

Azhari Akmal Tarigan (2014). Teologi Ekonomi: Upaya Internalisasi Nilai-nilai Tauhid dalam Aktivitas Ekonomi dan dan Bisnis Islam. Jakarta: Rajawali Pers.

Daud Rasyid (1998). Islam Dalam berbagai Disiplin. Jakarta: Gema Insani.

Hamim Ilyas (t.t). Tauhid Rahamutiyah: Reinterpretasi Doktrin Tauhid Dalam Muhammadiyah Untuk Merespon Perubahan Sejarah. Diakses dari http://www.muhammadiyah.or.id/muhfile/download/Pengajian%20Ramadhan%201432H/Hamim%20Ilyas.pdf pada tanggal 19 Julai 2015.

Ika Yunia Fauzia & Abdul Kadir Riyadi (2014). Prinsip Dasar Ekonomi Islam: Perspektif Maqashid Al-Syari'ah. Jakarta: Kencana Prenadamedia Group.

M. Anwar Firdausi (2013). Teologi Universal: Solusi mencegah Kekerasan Berlatar Agama. Ulul Albab Volume, 14(2013), 16-30.

Masudul Alam Choudhury (1997). Theory and Practice of Islamic Political Economy, in Choudhury, M.A. Abdad, M.Z. & Salleh, M.S. (eds.) Islamic Political Economy in Capitalist-Globalization, An Agenda for Change. Kuala Lumpur, Malaysia: Utusan Publications.

Muhammad Syukri Salleh (2003). Tujuh Prinsip Pembangunan Berteraskan Islam. Kuala Lumpur: Zebra Edition Sdn. Bhd.

Mustafa Haji Daud (1989). Pemikiran Politik dan Ekonomi Al-Maududi. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mohd Shukri Hanapi (2013). Tasawur Islam dan Pembangunan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Rozalinda (2014). Ekonomi Islam: Teori dan Aplikasinya pada aktivitas Ekonomi. Jakarta: Rajawali Pers.

Syamsul Rijal (2007). Konsep Epistemologi tauhid Ismail Raji al-Faruqi. Disertasi Doktor dalam ilmu Agama. Disertasi ini diserahkan kepada UIN Sunan Kalijaga, Yogyakarta.

YPEIM (2005). Pengurusan Islam: Mengahyati Prinsip dan Nilai Qurani. Kuala Lumpur: Akademi Pengurusan YPEIM.



Posting Komentar